Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli
fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa
antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada
yang hanya mendengar suara. Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui
mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok
engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghadap ke barat. Engkau
dikehendaki berbuat, pertama; apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah,
kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau
putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."
Pada
keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan
kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam.
Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku
hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat
dilaksanakan." Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan
hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu
mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun
mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis
bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.
Kemudian
Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas.
Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun
menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian
ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun
menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi
itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan
perjalanannya tanpa disadari oleh Nabi mangkuk emas itu terkeluar semula dari
tempat ia ditanam.
Ketika
dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung elang sedang
mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata,
"Wahai Nabi Allah, tolonglah aku." Mendengar rayuan burung itu,
hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke
dalam bajunya. Melihat keadaan itu, lantas burung elang itu pun datang
menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar
dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan
harapanku dari rezekiku."
Nabi itu
teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, yaitu tidak boleh
putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu.
Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit
daging pahanya dan diberikan kepada elang itu. Setelah mendapat daging itu, elang
pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya. Selepas
kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu
dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari
situ kerana tidak tahan menghirup bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah
menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam
itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "YaAllah, aku telah melaksanakan
perintah-Mu sebagaimana
yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku arti semuanya
ini."
Dalam
mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah
s.w.t. bahwa, "Yang pertama
engkau makan itu ialah marah. Pada
mulanya nampak besar seperti
bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawali serta menahannya,
maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu. Kedua semua amal kebaikan (budi), walaupun
disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua. Ketiga jika sudah menerima amanah seseorang,
maka janganlah kamu khianat kepadanya. Keempat jika orang meminta kepadamu, maka
usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat.
Kelima bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan
hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul
membuat ghibah."
Saudara-saudaraku,
kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab
kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita
sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata
hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain.
Haruslah kita ingat bahwa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan
pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang
hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang
tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan
ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."
Maka
berkata Allah s.w.t., "Ini
adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu." Dengan ini
haruslah kita sedar bahwa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi
kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah
kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar